3:38 PM

Tak Kira cantik ke tak...

"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang
wangi... Begitulah orang yang cantik jarang
berbudi.."

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni
cantiklah", maka akan menguntumlah sebutir
senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya.
Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok
bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam
manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa
dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil
tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan
manusia.

Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana
sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita
cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga,seisi
dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang
gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan
wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi
andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat
dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga
dengan kecantikkannya maka suamilah yang
menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan
kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih
malang jika si suami pula suka akan kecantikan
isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar
kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang
dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah
perginya, alangkah dayusnya dia.

Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan
meragam seandai kemahuannya tidak tercapai,
mengugut, merajuk hendak balik kampung atau
minta cerai. Alangkah indahnya jika si isteri tadi,
kecantikannya digunakan untuk meniup semangat
jihad ke lubuk hati mujahidin.

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang
wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada
akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya
pada suami adalah akhlak yang indah.

Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti
tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang
derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya.
Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya
wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia,
taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya,
ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya
memikat jiwa.

Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah
cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya,
tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis
murahan yang mempertontonkan kecantikan.
Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar
diri jadi mainan.

Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak
akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang
tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka
tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.
Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa
untuk merebut kasih sayang manusia.

Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi
wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia.
Nescaya disayangi Allah serta makhluk-
makhlukNya.

Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan
nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan
kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan
jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai
atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah
kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang
tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang
bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.
Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan
gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri
yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika
kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah
tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan
syaitan.

Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik
buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang
berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan
persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang
berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan
ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi
sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan
kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan
nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar
pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang,
berkorban apa saja demi mendapatkannya?

Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah
kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak
taubat.

0 comments: