11:01 AM

Iman harus meningkat selaras pertambahan usia

KITA baru berada dalam tahun 2005. Oleh itu, elok kita
muhasabah diri untuk melihat kembali senarai resolusi
awal tahun lalu. Sejauh mana kejayaan pelaksanaan.
Jika berjaya dicapai, perlu difikirkan lagi bagaimana
untuk meningkatkan prestasi.



Apabila disemak, banyak juga resolusi tidak tercapai
dan gagal mencapai sasaran. Kegagalan perlu diselidik.
Di manakah kekurangan dan kelemahan diri sendiri?

Hindari Budaya Oh Bangau

Jika hendak berjaya, perlu berani menyalahkan diri
sendiri di atas apa yang berlaku ke atas diri. Jika
asyik menyalahkan orang lain, sentiasa mencari alasan,
pasti akhirnya tidak akan menjadi golongan cemerlang.

Hal itu mengingatkan kita kepada lagu ’Bangau Oh
Bangau’, satu lagu kesukaan pada zaman kanak kanak.
Mesej yang menonjol daripada lagu itu adalah tabiat
suka mencari alasan dan menyalahkan orang lain.
Apabila masalah timbul kita akan mencari alasan dan
mencari kambing hitam untuk menyalahkan orang lain.
Bangau menyalahkan ikan. Ikan menyalahkan rumput.
Rumput menyalahkan kerbau dan begitu seterusnya.

Sikap cepat menyalahkan orang lain, tanpa usul periksa
adalah budaya keji. Fenomena ’Bangau Oh Bangau’
menjadi budaya kita. Apabila umat Islam ditimpa
tragedi, kita salahkan orang lain. Walhal kita juga
sebahagian daripada masalah dan tragedi itu. Kita
perlu mencari kesalahan sendiri, kemudian perbaiki
kesilapan itu.

Sekarang mari kita muhasabah diri untuk memperbaiki
kesilapan. Dengan itu, semoga insya-Allah meningkatkan
ilmu, takwa dan amal.

Resolusi harus realistik
Beralih ke tahun baru, kita pun berkira kira ingin
mencipta resolusi baru lagi. Tidak ada salahnya
mengarang resolusi demi resolusi. Hal ini kerana
resolusi melambangkan keghairahan cita-cita dan
wawasan masa depan yang lebih baik. Namun, resolusi
perlulah realistik dan berpijak di bumi nyata. Ia
perlu praktikal dan boleh dilaksanakan.

Wawasan yang realistik penting.

Firman Allah bermaksud: “Allah tidak membebani
seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 286)

Ayat ini menunjukkan untuk mencapai kejayaan, matlamat
dan cita-cita, seseorang itu perlu menyesuaikannya
dengan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki, iaitu ia
hendaklah realistik. Adalah tidak munasabah jika
seorang sasterawan ingin membuka klinik perubatan
untuk merawat orang sakit.

Demikian juga, tidak realistik jika seseorang
bercita-cita untuk melaksanakan ibadah seumur hidupnya
tanpa tidur. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan,
pada zaman Rasulullah saw ada beberapa sahabat yang
berazam untuk melakukan perkara luar biasa untuk
mendekatkan diri kepada Allah. Antara mereka berazam
untuk terus menerus berpuasa. Seorang lain, berazam
untuk melaksanakan ibadah tanpa tidur dan ada yang
berazam tidak berkahwin agar ibadahnya tidak
terganggu.

Apabila Nabi diberitahu mengenai perkara itu, Baginda
tidak bersetuju dengan tindakan mereka. Hal itu kerana
ia bercanggah dengan sifat semula jadi manusia.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Demi Allah, akulah
manusia yang paling takutkan Allah dan paling bertakwa
kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku
bersolat dan tidur dan aku juga berkahwin. Sesiapa
yang tidak mengikut sunnahku ini, dia tidak termasuk
dalam golonganku.”

Resolusi dan cita-cita yang akan menjadi kenyataan
adalah yang realistik disusuli dengan amal berterusan.

Semakin tua semakin menjadi
Sebaik melangkah tahun baru, bertambah usia, kita
semakin tua. Seharusnya, kita semakin hebat
berperanan. Bertambah kesungguhan dan komitmen
terhadap melakukan kebaikan untuk masyarakat. Ada
antara kita apabila mencapai umur tua, ‘pencen’ dalam
segala hal. Mereka bukan saja pencen di sudut kerjaya,
malah membuat amal kebajikan, dakwah, mengeluarkan
idea serta pemikiran untuk kemajuan dan kebaikan
masyarakat.

Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Semakin
tua, seharusnya semakin menjadi dalam hal kebaikan.
Semakin berumur, semakin gigih menegakkan kebenaran.
Semakin berumur, semakin komited dengan kebajikan dan
makruf.

Mari kita mengenang kembali sirah kehidupan Nabi
Muhammad. Baginda diutus menjadi rasul ketika berumur
40 tahun. Berjuang di Makkah selama 13 tahun sebelum
berhijrah ke Madinah. Umur baginda ketika berhijrah
adalah 53 tahun. Lebih kurang umur pekerja di Malaysia
yang akan pencen. Namun, Baginda tidak pencen. Semakin
tua semakin menjadi.

Sewaktu, penghijrahan itu, tidak ada kereta Chevrolet,
Honda, Toyota atau Kancil, yang ada cuma unta.
Bayangkan penghijrahan itu yang memerlukan pengorbanan
tinggi. Ia dipenuhi penderitaan.

Contoh lain, yang tidak kurang menarik adalah
pengorbanan panglima Islam terkenal, Musa bin Nusair.
Apabila sebut nama ini, kita teringat pada sebuah
negara yang satu ketika dulu ditakluk oleh beliau.
Negara itu bernama Sepanyol, yang dahulunya dikenali
sebagai bumi Andalus. Musa bin Nusair adalah penakluk
gagah berani dan handal hingga majoriti rakyat
Sepanyol menerima Islam dan negara itu mencapai
kegemilangan di tangan umat Islam. Umur Musa bin
Nusair ketika berangkat ke Sepanyol lebih kurang 70
tahun. Umur 70 tahun ini kita boleh panggil beliau
dengan gelaran tok wan atau datuk. Namun, semakin tua,
semakin menjadi perjuangan dan kebaikannya.

Oleh itu, janganlah jadikan umur tua sebagai alasan
untuk melembapkan diri. Ambillah iktibar daripada
Rasulullah dan panglima Islam Musa bin Nusair yang
membuka Sepanyol untuk menerima kehebatan Islam.

Semua ini merangsang kita ke arah sentiasa komited
dengan usaha baik walaupun tua. Jadi, itulah yang
dimaksudkan dengan semakin tua, semakin menjadi, bukan
dalam bentuk negatif, tetapi dalam bentuk positif.

Jadikan setiap penggantian tahun sebagai hari
peningkatan (Az-Ziyadah) ilmu dan amal sebagai tanda
syukur. Hal ini supaya kita tidak termasuk golongan
orang yang terkena azab pedih Allah.

Contohilah seekor lebah
Mungkin antara resolusi ingin dicontohi adalah seekor
lebah yang hinggap pada bunga untuk membantu dan tidak
merosak. Menjadikan setiap tempat adalah ladang amal,
setiap orang adalah objek untuk meraih keredaan Allah
tanpa mengoyak-ngoyak perasaan dengan perbezaan
pendapat.

Ya Rabbi! Tanamkan ladangku dengan keinsafan Nabi
Adam, ketahanan Nuh, kecerdasan Ibrahim, ketulusan
Ismail, kesederhanaan Ayub, kesabaran Yunus,
kelapangan Yusuf, kesungguhan Musa, kefasihan Harun,
kesucian Isa dan kematangan Muhammad. Bukan hanya
ungkapan “Selamat Tahun Baru” diucapkan, tetapi
“Selamat Merenungi Nikmat Allah, Selagi Roh Masih
Bersatu Dalam Jiwa.”

0 comments: