3:45 PM

Penawar penat oleh Rasullullah

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di
rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang
diajar oleh Rasulullah s. a. w. kepada puteri kesayangannya Saidatina
Fatimah sebagai penawarnya. Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada
suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana
keletihan menggiling gandum untuk membuat roti. Saidina Ali berkata :

"Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang.
Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantumu."

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat
untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di
rumah.

Bagaimanapun Rasulullah s. a. w. tidak mampu memenuhi
permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s. a. w. pergi menemui
puterinya serta menantu itu. Baginda s. a. w. berkata :

"Apakah kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih
baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring
untuk tidur,bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah)
33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk
kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi s. a. w. ajarkan kepada anak
dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup
mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah s.a.w.
ini. Katanya

"Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia
diajarkan kepadaku."

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa
sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya
mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan
'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum
melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan),
Insya-Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup
seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan
senyuman.

0 comments: